Selasa, 18 Ogos 2009







Darihal Puasa, Iman dan Taqwa

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat. Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam. Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk." Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam.. Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s. Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa. Puasa, lambang amalan agama samawi Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini. Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa. Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183) Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan. Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu. Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

0 comments: